Andai mahu mereput, biarlah seperti mereputnya kayu yang memberikan baja kepada tanah. -farhahza'ba-

Pemula Bicara.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.

Segala puji bagi ALLAH TUHAN sekalian alam; Maha pemurah lagi Maha penyanyang, Yang menguasai hari pembalasan!
Hanya padaMUlah tempat kami sembah; Dan padaMUlah tempat kami memohon pertolongan
. Tunjukilah kami jalan yang lurus; jalan orang2 yang Kau redai. Serta jalan orang2 yang Kau beri nikmat; Bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Amen..

Thursday, January 26

Dua puluh lapan ringgit lima puluh sen.

di hadapan kedai
sebuah Kereta Kancil parkir
seorang lelaki
seorang perempuan
duduk di meja petak beralas biru
gelojoh memesan dua mangkuk mi udang
gelak sakan berbual bicara

kata-kata terhenti
seperti malaikat berlalu
melihat poket yang kosong
teringat pesanan mi udang tadi
si perempuan makan tak lalu
si lelaki makan laju

satu gelas air limau sejuk
dan satu gelas air teh O limau sejuk
ais mencair terbiar
merenung tiga ekor udang

cerita tentang mi udang
cerita tentang lelaki dan perempuan
yang akhirnya kenyang
berbayar dengan duit selongkar dalam Kancil
dua puluh lapan ringgit lima puluh sen.

farhahzaba
26Jan12
untuk diriku sebagai peringatan.

kenangan lucu di pulau pinang bersama sahabat. semuanya kerana mi udang!! haha. =D
p/s: jangan pesan makanan dulu kalau belum tengok poket. :p

Thursday, January 19

Si kosong mahukan Tuhan.

dia si kosong,
jangan pernah sudi mendengar ceritanya,
jangan pernah sudi memahaminya,
kerana dia si kosong yang bolong.

dia si kosong,
jangan mahu bersama dia,
jangan mahu berkongsi dengan dia,
kerana di si kosong yang lohong.

dia si kosong,
yang sering menangis tak berisi,
yang sering gagah walau tak berteman,
kerana dia si kosong yang bukan pembohong.

dia si kosong,
biarkan saja dia dengan kekosongan jiwanya,
biarkan saja dia merana,
kerana di si kosong yang serong.

dia si kosong,
bukan mahu diberi perhatian,
bukan mahu ada peneman,
kerana dia si kosong.

dia si kosong,
yang mahu di isi penuh,
yang mahu ditempatkan bersama Tuhan,
kerana dia si kosong yang tak mahu kosong.

engkau tak akan pernah kenal si kosong,
tak akan mahu si kosong,
kerana kau yang kosong.

farhahzaba
19Jan12
masih di pulau


-untuk diriku sebagai peringatan-

tentang manusia berilmu yang menjauhkan diri daripada orang-orang yang tidak 'berilmu' kerana mungkin dia merasa dirinya sudah cukup untuk Tuhan. Dalam masa yang sama manusia berilmu itu lupa yang dia masih belum berilmu.

"sudikanlah dirimu dengan siapa saja, kerana kamu juga masih kosong"

terima kasih untuk yang memahami.

 Bukit Bendera

Tuesday, January 17

Tentang cinta.

kita ada dua pilihan,
mencintai atau dicintai,
dicintai itu indah tapi berat,
mencintai itu berani tapi sukar.

batu dan tunggul itu tak bernyawa,
cinta tanpa balas itu mati,
bunga dan kumbang itu bernyawa,
cinta punya balas itu hidup.

pernah kau merasa dicintai?
atau pernah mencintai?

sungguh aku ini buta cinta,
tak nampak mana wujudnya ia,
jangan dipaksa aku untuk cinta,
kerana cinta itu mulia.

Tuhan ciptakan cinta,
manusia mereka-reka cinta,
cinta indah itu Tuhan,
cinta mati tu manusia.

farhahzaba
17Jan12
musafir di jalanan

untuk diriku sebagai peringatan.



Monday, January 16

kisah menung.

di jendela kaca aku menung,
melihat jatuhnya matahari di sebalik bukit,
menonton drama sebenar manusia,
di sini semua cerita ada,
kisah seorang bapa,
kisah seorang ibu,
kisah seorang anak,
kisah seorang tua,
kisah seorang muda,
kisah seorang pekerja,
kisah seorang pelajar,
kisah seorang buruh,
pelbagai cerita dilakonkan manusia,
haiwan pun tak ketinggalan,
kisah seekor kucing,
kisah seekor anjing,
kisah seekor tikus,
kisah rama-rama,
kisah lalat,
bukit-bukit dan pokok-pokok juga punya ceritanya.

dan aku hanyalah dengan kisah menung.

 farhahzaba
16Jan12
 aku yang asing
Bayan Baru


 di jendela 6.45 petang.
di jendela 7.15 petang

 di jendela 7.40 petang

hodoh.

membelek-belek malam yang sisa,
merenung kembali puisi-puisi sampah ku,
sungguh aku tidak berbohong,
yang aku mahu muntah melihat penulisan-penulisan ku yang hodoh.

farhahzaba
musafir di atas pulau
16Jan12
12.55a.m

Relau

Sunday, January 15

untukmu.

bertanahkan pulau aku berkiblatkan pantai,
jauh di seberang sana lampu-lampu neon masih berkelip,
bayu malam masih bekerja menggulung ombak,
duduk ku di bangku kayu,
air jiwa mengalir pilu.

andai kau minta bulan diatas langit,
sudah aku genggam awal-awal untuk aku beri,
andai kau mahu mutiara di lautan,
sudah aku selami hingga ke dasarnya,
andai kau berkehendakkan pelangi,
sudah aku warna dilangit jingga.

ini luahan hati adinda.

dalam tubuh kita ini mengalir darah yang sama,
tapi kita kadang-kala tak sama,
kita tak sefahaman,
bila bertekak; tengking jerit,
seorang ke timur seorang ke barat.

maafkan aku yang degil untuk mengalah,
maafkan aku yang tak pernah memahami mu,
maafkan aku yang buruk guraunya,
maafkan aku yang cacat pendapatnya.

kita bukan tidak kenal,
malah lebih dari kenal,
lebih dari tahu siapa kamu, siapa aku?
cuma kadang-kala kita perlukan masa untuk memahami,
dan merasai.

kakanda,
mohon maafkan aku.


farhahzaba
Relau, 
15Jan12
musafir dijalanan.

Tentang hubungan adik-beradik yang sudah tentu kadang-kala ada perselisihan. 
Tuhan tak beri 'dia' pada orang lain tapi Tuhan beri 'dia' pada kita. Itulah hadiah yang sangat teristimewa daripada Tuhan.  

air yang dicincang tak akan putus.

p/s: Terima kasih Allah.


Thursday, January 12

cinta perempuan.

kita tak sama,
jauh sekali untuk bersama,
cinta itu buta,
hingga tak nampak aku,
hingga terpaku aku,
hingga teduduk aku,
mengalir air jiwa,
rebah jasad.

aku gadis bertubuh wanita,
berakal perempuan,
berjiwa ibu,
berat mana cinta,
tetap aku berjuang,
sampai celik cinta,
sampai terukir senyuman.

tunggulah.

pulau pinang,
12Jan12
musafir jalanan.

kisah perempuan yang cintanya hanya difahami oleh perempuan, yang kisahnya sangat panjang, yang jiwa nya lembut, yang pengorbanannya berpanjangan... 
aku juga perempuan.


Wednesday, January 4

Malu.

malu ku bukan pada wajah yang hodoh
bukan pada harta yang sedikit cuma
malu ku bukan pada tubuh yang pendek
bukan pada warna kulit yang gelap
bukan pada berat yang gedempol.

malu ku pada mulut yang malas berzikir
pada tangan yang pendek menghulur bantuan
malu ku pada tubuh yang malas bangkit
pada jasad yang tidak terhijab baiknya
pada akal yang terpesong dengan sihir dunia.

sungguh aku ini pemalu
mencuba untuk sembunyi
dayanya hanya menutup mata
tak mampu menyorok wajah
cuma mampu menangis di tutupkan aku.

2.21pagi
4Dis11
tahjud di jalanan kotor.

untuk diriku sebagai peringatan.

Sunday, January 1

Atok Ali - (Alfatihah)

seorang lelaki tua
berambut putih
bermisai kumis
bercermin mata lama
satu-satunya kenderaan yang dia ada
motor skuternya
dan basikal buruk

aku masih ingat
waktu usia kecil ku
pernah skuternya rosak
berpanas hujan dia mengayuh basikal
yang berbatu jauhnya
semata-mata untuk berjumpa cucunya

kalau kau orang batu pahat
betapa penatnya mengayuh basikal dari Kampung Sungai Ayam ke Pekan Tongkang pecah?
dialah lelaki paling gagah yang pernah aku kenal
dialah si tua kacak berambut putih
dialah si lelaki tua yang aku sayang

hari ini bertarikh 6 safar 1433
dia pergi menghadap Tuhan
meninggalkan aku jauh beribu batu
meninggalkan kenangan yang sungguh indah

tinggal rumah usang
tinggal basikal buruk yang terdampar
tinggal motor skuter yang tak kelihatan lagi
tinggal selipar jepun buruk di hadapan rumah usang

Alfatihah.

farhahzaba
1jan12
belajar melukis warna jingga


Gambar terakhir bersama beliau 21/09/2009

untuk diriku sebagai peringatan.