Andai mahu mereput, biarlah seperti mereputnya kayu yang memberikan baja kepada tanah. -farhahza'ba-

Pemula Bicara.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.

Segala puji bagi ALLAH TUHAN sekalian alam; Maha pemurah lagi Maha penyanyang, Yang menguasai hari pembalasan!
Hanya padaMUlah tempat kami sembah; Dan padaMUlah tempat kami memohon pertolongan
. Tunjukilah kami jalan yang lurus; jalan orang2 yang Kau redai. Serta jalan orang2 yang Kau beri nikmat; Bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Amen..

Sunday, April 17

Dunia dan keinginan.

Ya, sekali lagi menceritakan bahawa dunia ini hanyalah khayalan yang menipu. Bosan. Sepertinya tiada cerita lain untuk diceritakan. Diulang dan diulang hingga pembaca menjadi muak. Begitulah juga muaknya dunia dalam hakikat jiwa. Mana mungkin dunia ini hanyalah sia-sia, kalau begitu mengapa Tuhan itu mencipta dunia? Fatamorgana, tipu daya, sia-sia, rakus, semua nya sering saja dikaitkan dengan dunia. Yang buruk-buruk harus saja untuk dunia. Lalu apa sebenarnya dunia ini?

Mungkin untuk usia saya yang hanya baru saja menjadi dewasa 21 tahun 73 hari belum cukup untuk mengenal dunia jika dibandingkan dengan datuk nenek saya. Pengalaman apatah lagi. Menjadi remaja bukan mudah bilamana dunia ini ibarat wayang yang mempersona, seperti kanak-kanak  yang dilepaskan ke taman permainan yang difikirnya itulah syurga baginya dan harus saja semua mahu disentuh walaupun tahu yang tanah itu kotor. Dikuis-kuis tanah itu kerana mungkin saja belum mumaiyiz untuk membezakan yang bersih dan yang kotor. Itu kanak-kanak, tapi bagaimana pula si remaja yang mahu menigkat dewasa? Sepertinya itu adalah situasi saya. Lalu saya terjumpa kata-kata Allah di surah Ar-rum ayat 64.

Benar, semakin lama dunia semakin berubah, banggunan mencakar langit, alam yang semakin tercemar, manusia yang berpusu-pusu, begitu juga dengan struktur bentuk muka bumi yang sering saja dilanda bencana alam dari Tuhan. Tapi adakah Tuhan itu kejam untuk membunuh makhluknya dan merosakkan tempat tinggal manusia? Untuk persoalan ini pernah saya membuka Quran mencari kuasa Tuhan dalam helaian-helaian Al-kitab. Di surah Az-zukhruf ayat 48 dan juga surah Al-Qasas ayt 43 Tuhan telah menceritakan nya beratus-ratus tahun dahulu.

Pernah juga saya mempersoalkan mengapa Tuhan itu kejam dalam memilih manusia untuk diberi hidayah? Mengapa hidayah itu tidak untuk semua manusia jika benar Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyanyang seperti di kalam basmallah yang sering saja saya ucapkan? Adakah itu Tuhan yang Adil?

Ya, itulah pemikiran saya yang sering saja bermain difikiran selama beberapa tahun. Hampir-hampir saja ranap jiwa saya bilamana persoalan saya tidak dapat dijawab oleh segilintir orang-orang alim yang pernah saya temukan. Jika diberi jawapan pasti saja belum cukup untuk diterima akal. Maka persoalan saya terjawab akhirnya bilamana Allah mahu saya mendapat jawapan itu. Seorang telah memberikan jawapan kepada saya melalui Quran surah Al-Qasas ayat 50 dan surah At-taubah ayat 75-76. Manusia itu memang suka mengikut keinginannya saja dan Allah itu Maha Tahu. Alhamdulillah di usia muda ini saya temukan jawapan.

Perubahan seorang yang tolol dalam hal agama lebih baik dari seorang yang merasakan alim tapi tidak ada perubahan. Ibaratnya seperti hanya di satu titik yang tinggi dan tidak bergerak-gerak untuk kepuncak akhirnya jatuh kebawah kerana tidak dapat mengimbangkan dirinya dengan baik. Ataupun seorang yang dipandang alim lalu membiarkan saja dirinya dipandang alim tanpa ada hubungan dengan Tuhan. Itu lebih buruk dari seorang yang tolol. Ada juga manusia yang tolol dan membiarkan dirinya dalam kebodohan itu tanpa berusaha mendapatkan Tuhan. Dan itu lebih saya kasihankan dengan kealpaan dunia yang menipunya. Sangat kasihan. Bukanlah saya ini seorang yang alim dan hebat untuk berkata semua ini, malah saya juga hanyalah si tolol.

Menjadi insan bukan saja baik dimata manusia hakikatnya baik dimata Tuhan. Namun apakah yang dikatakan baik itu? baik perangai, baik hati, baik pendidikan atau baik rupanya? Baik apa yang terbaik disisi Tuhan. Di usia yang mentah ini saya cuba menempatkan diri untuk memahami erti khalifah yang sering dikata Tuhan dalam Al-Furqan. Menjelajah di setiap saraf-saraf otak yang diberi nama akal untuk saya berfikir. Sering saja saya jatuh untuk berkenalan dengan Tuhan kerana mungkin memang benar hati ini sentiasa berbolak-balik bersama iman. Tuhan yang Maha membolak-balikkan hati manusia untuk dilihatNya siapakah orang-orang yang berjaya.

Dan saya yang tolol ini bersama-sama dengan nadi yang berdenyut berharap agar diusia yang dianugerahkan Tuhan ini tidak akan menjadi sia-sia diperkosa keinginan dunia. Dan pegembaraan di usia ini semoga di permudahkan Tuhan. Semoga perjalanan saya tidak dicemari habuk-habuk yang mampu membutakan mata seperti dulu. Keinginan perlu saja ditapis dan dinilai sebelum diusahakan. Dunia tetap sahaja bernama dunia, dan manusia itu boleh sahaja bernama insan.

menulis untuk diriku sendiri sebagai peringatan.
-farhahzaba-


No comments:

Post a Comment

ujar saja jika perlu.